Pengenalan

Merujuk Surat  dari Kementerian Sumber Manusia  No Rujukan: KSM/PSM/500-1/3/15(35) bertarikh 15 Jun 2016, nama Institut Latihan Perindustrian Ledang  telah dipinda kepada Institut Latihan Perindustrian Tangkak selaras dengan perubahan nama Daerah Ledang kepada Daerah Tangkak melalui Warta Kerajaan Johor bertarikh 17 Disember 2015. 

Pada tahun 1998, sejarah bermulanya pembinaan ILP Tangkak sebagai Institut latihan teknikal dibawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia di atas tanah seluas 50 ekar berhampiran Pekan Sagil. Dibangunkan dibawah Rancangan Malaysia Ke-7, ILP Tangkak yang ditubuhkan untuk melatih kemahiran teknikal secara formal bagi lepasan sekolah dan pekerja industri yang telah memulakan operasi dengan rasminya pada 13 Oktober 2000 dengan pengambilan pelatih yang pertama telah dilaksanakan pada 8 Januari 2001. Kos perbelanjaan keseluruhan termasuk bangunan dan peralatan ialah RM170 juta.

Majlis perasmian ILP Tangkak telah dilakukan secara serentak melalui persidangan video (Video Conference oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu iaitu Dato' Sri Abdullah Ahmad Badawi di ADTEC Shah Alam dan disempurnakan di ILP Tangkak oleh Menteri Besar Johor, Dato' Hj Abdul Ghani Othman pada 11 Januari 2003 yang mana pada ketika itu, Institut Latihan Perindustrian Tangkak dikenali dengan nama Institut Latihan Perindustrian Muar.

Pihak pengurusan pada masa itu diketuai oleh seorang Pengarah iaitu Pn Rosnah binti Muhammad Tahir. Kakitangan yang terlibat pada masa itu seramai 70 orang iaitu terdiri dari 60 orang pensyarah dan 10 orang kakitangan pentadbiran. Kapasiti pelajar seramai 600 orang pada satu masa iaitu 400 orang lelaki dan 200 orang perempuan.

Pada tahun 2004, Pengurusan pentadbiran telah diterajui oleh Tuan Hj Zainuddin Bin Hj Ahmad. Beliau telah menerajui ILP Tangkak sehingga Oktober 2009. Kakitangan telah bertambah kepada 97 orang. Pada Oktober 2009, En Adnan Bin Ismail pula telah dilantik menjadi Pengarah ILP Tangkak yang ketiga sehingga 26 Mac 2014.

Bermula 27 Februari 2014 ILP Tangkak dikemudi pula oleh pengarah baru iaitu En Mohammad Musa Bin Ahmad sehingga kini dengan jumlah kakitangan seramai 99 orang.

Terdapat 7 Kursus yang dijalankan di ILP Tangkak.

  1. Teknologi Pembuatan
  2. Teknologi Kimpalan Arka dan Gas
  3. Teknologi Fabrikasi Logam
  4. CADD Mekanikal (Pembuatan)
  5. Teknologi Mekatronik
  6. Teknologi Polimer (Plastik)
  7. Teknologi Komputer (Rangkaian)

Related Articles