
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya, Laman Web Rasmi Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Tangkak telah berjaya dibangunkan dan disempurnakan. Diharapkan kewujudan laman web ini dapat berfungsi sebagai medium penyampaian maklumat yang efektif, interaktif dan komprehensif, seterusnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pembangunan laman web ini adalah selari dengan aspirasi untuk memperkenalkan ADTEC JTM Kampus Tangkak kepada masyarakat umum, di samping menyediakan maklumat berkaitan peluang latihan kemahiran yang ditawarkan serta menjadi saluran alternatif bagi penyebaran maklumat organisasi, perkhidmatan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kolej kepada semua lapisan masyarakat.
Sejarah penubuhan ADTEC JTM Kampus Tangkak bermula pada tahun 1998, apabila institusi ini dibangunkan sebagai salah sebuah agensi penyedia latihan teknikal dan kemahiran di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. Pembinaan kampus ini telah dilaksanakan di atas tanah seluas 50 ekar di bawah Rancangan Malaysia Ke-7. Operasi latihan secara rasmi telah bermula pada 13 Oktober 2000, manakala sesi pengambilan pelajar sulung telah dilaksanakan pada 8 Januari 2001, ketika institusi ini dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Muar.
Seiring dengan aspirasi negara ke arah mencapai status negara maju, pembangunan modal insan yang berkualiti, berpengetahuan serta berkemahiran tinggi merupakan keperluan utama masa kini dan masa hadapan. Justeru, usaha memperkukuh kompetensi tenaga kerja melalui peningkatan ilmu, kemahiran dan kecekapan selaras dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 perlu diberikan perhatian serius agar negara terus berdaya saing dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
Sehubungan itu, pihak kami menyeru seluruh lapisan masyarakat, khususnya lepasan sekolah dan warga industri, agar merebut peluang yang disediakan oleh ADTEC JTM Kampus Tangkak bagi memperoleh latihan dan maklumat yang mampu menyumbang kepada pembangunan keupayaan diri berteraskan pengetahuan serta kemahiran terkini.
Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan komitmen dalam menjayakan pembangunan laman web ini. Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan membina daripada orang ramai bagi tujuan penambahbaikan berterusan terhadap fungsi dan kandungan Laman Web Rasmi ADTEC JTM Kampus Tangkak. Diharapkan segala maklumat yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengunjung.
Sebarang maklum balas, pandangan dan input boleh dikemukakan melalui ruangan Maklum Balas Anda yang disediakan di laman web ini.
Sekian, terima kasih dan selamat melayari Laman Web Rasmi Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Tangkak.
En. Ahmad Jefri Bin Sabri
Pengarah
Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Tangkak