Selaras dengan penjenamaan semula Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Nama Institut Latihan Perindustrian Tangkak telah bertukar kepada Kolej Teknologi Termaju atau Advanced Technology College (ADTEC) JTM Kampus Tangkak berkuatkuasa 23 Jun 2025.
Pada awal penubuhan, ADTEC JTM Kampus Tangkak dikenali dengan nama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Muar berikutan Tangkak merupakan sebahagian daripada Daerah Muar yang dipisahkan dengan bahagian selatan oleh Sungai Muar.
Pada tahun 1998, sejarah bermulanya pembinaan ADTEC Tangkak sebagai Institut latihan teknikal dibawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia di atas tanah seluas 50 ekar berhampiran Pekan Sagil. Dibangunkan dibawah Rancangan Malaysia Ke-7, dengan objektif untuk melatih kemahiran teknikal secara formal bagi lepasan sekolah dan pekerja industri yang telah memulakan operasi dengan rasminya pada 13 Oktober 2000 dengan pengambilan pelatih yang pertama telah dilaksanakan pada 8 Januari 2001. Kos perbelanjaan keseluruhan termasuk bangunan dan peralatan ialah RM170 juta.
Majlis perasmian ILP Muar (pada ketika itu), telah dilakukan secara serentak melalui persidangan ‘Video Conference’ oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu iaitu Dato' Sri Abdullah Ahmad Badawi di ADTEC Shah Alam dan disempurnakan di ILP Muar oleh Menteri Besar Johor, Dato' Hj Abdul Ghani Othman pada 11 Januari 2003.
Pada 9 Jun 2008, Daerah Tangkak telah diisytihar sebagai daerah penuh dengan nama Daerah Ledang. Selaras dengan pertukaran nama daerah ini, pengurusan institut bersetuju untuk nama Institut Latihan Perindustrian Muar ditukarkan kepada Institut Latihan Perindustrian Ledang.
Nama Daerah Ledang ditukar pula secara rasmi kepada Daerah Tangkak dan kuat kuasa pertukaran nama itu berlaku serta merta pada Januari 2016, di mana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk meminda semua dokumen dan hak milik daripada 'Ledang' kepada 'Tangkak' dan semua urusan pentadbiran dan dokumen berkuat kuasa serta merta menjadikan Tangkak sebagai pusat pentadbiran rasmi.
Merujuk Surat dari Kementerian Sumber Manusia No Rujukan: KSM/PSM/500-1/3/15(35) bertarikh 15 Jun 2016, nama Institut Latihan Perindustrian Ledang dipinda kepada Institut Latihan Perindustrian Tangkak selaras dengan perubahan nama Daerah Ledang kepada Daerah Tangkak melalui Warta Kerajaan Johor bertarikh 17 Disember 2015.
Bagi mencapai matlamat melahirkan pusat latihan Kemahiran yang terbilang, Pengurusan ADTEC JTM Kampus Tangkak telah diterajui oleh 7 Pengarah yang sangat berkaliber:
- Pn Rosnah binti Muhammad Tahir – Oktober 2000 - Mac 2004
- Tuan Hj Zainuddin Bin Hj Ahmad - Jun 2004 – Jun 2009
- En Adnan Bin Ismail – 15 Julai 2009 -15 Februari 2014
- En Mohammad Musa Bin Ahmad – 27 Februari 2014 – 14 Disember 2021
- En Mohmad Noor Bin Ismail – 15 Disember 2021 – 31 Disember 2024
- En Ahmad Jefri Bin Sabri – 28 Februari 2025 - Sekarang
Terdapat 7 Kursus yang dijalankan di ADTEC JTM Kampus Tangkak.
- Teknologi Pembuatan
- Teknologi Kimpalan Arka Logam
- Teknologi Fabrikasi Struktur Logam (Minyak & Gas)
- CADD Mekanikal (Pembuatan)
- Teknologi Mekatronik
- Teknologi Polimer (Plastik)
- Teknologi Komputer (Rangkaian)