Accessibility Tools

Memperkasa Jaringan Industri Global Melalui Research & Technology Exchange Programme 2026 Di Shenzhen, China

8–11 OKTOBER 2026 - ADTEC JTM Kampus Tangkak terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri teknologi global melalui penyertaan dalam Research & Technology Exchange Programme 2026 anjuran TP-Link Omada Malaysia yang berlangsung di Shenzhen, China.
 
Program ini menghimpunkan wakil institusi pendidikan dan latihan teknikal bagi meneroka perkembangan teknologi rangkaian terkini serta memperluas perkongsian kepakaran antara institusi pendidikan dan pemain industri antarabangsa.
 
Sepanjang program, delegasi berpeluang mengadakan lawatan teknikal ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), fasiliti pengeluaran serta bilik pameran teknologi TP-Link bagi melihat secara lebih dekat proses pembangunan, inovasi dan aplikasi penyelesaian rangkaian moden.
 
Antara fokus utama lawatan ialah penerokaan teknologi Enterprise Networking Solutions melalui ekosistem Omada, khususnya penyelesaian rangkaian berkapasiti tinggi (high-density networking) yang menyokong keperluan persekitaran pendidikan moden seperti bilik kuliah, makmal komputer dan kawasan kampus yang melibatkan penggunaan pelbagai peranti secara serentak.
 
Penyertaan ini merupakan satu lagi langkah positif dalam memperkukuh kerjasama antara ADTEC JTM Kampus Tangkak dan TP-Link Omada Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan serta penerapan amalan industri terkini dalam pelaksanaan latihan TVET.
 
Diharapkan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan dalam memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kompetensi tenaga pengajar serta melahirkan graduan TVET yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing seiring perkembangan teknologi industri.
 
Setinggi-tinggi penghargaan kepada TP-Link Omada Malaysia atas peluang, kerjasama dan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan bakat serta memperkukuh hubungan strategik antara industri dan institusi TVET.
 
✨ Memperkasa TVET, Merintis Teknologi, Menghubungkan Masa Hadapan.
 
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
 

Related Articles