GEMENCHEH, 31 Julai 2026 – Unit Jalinan Industri (UJI), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bersama ADTEC Tangkak telah mengadakan lawatan kerja ke Ladang Regent, IOI Plantation di Gemencheh, Negeri Sembilan bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang teknologi mekanisasi dan automasi perladangan.
Delegasi JTM yang diketuai oleh wakil Unit Jalinan Industri telah disambut oleh wakil pengurusan IOI Group dan IOI Plantation IOI Corporation Berhad . Lawatan tersebut merangkumi sesi taklimat, perbincangan teknikal serta demonstrasi beberapa teknologi dan peralatan yang digunakan bagi menyokong operasi perladangan moden.
Antara teknologi yang diberi perhatian ialah kenderaan utiliti elektrik, Electric Cart Scissor-Lift, jentera pengangkutan hasil serta Mini Tractor Grabber yang dilengkapi sistem kamera bagi membantu proses penggredan. Penggunaan teknologi berkenaan mencerminkan usaha industri perladangan untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada kerja manual dan memperkukuh aspek keselamatan operasi.
Sesi perbincangan turut meneliti keperluan kompetensi tenaga kerja bagi menyokong penggunaan, penyelenggaraan dan penambahbaikan jentera perladangan. Kepakaran ADTEC Tangkak dalam bidang teknikal berpotensi dimanfaatkan melalui pelaksanaan latihan berasaskan industri, peningkatan kemahiran pekerja, penempatan pelajar, latihan industri serta pembangunan projek inovasi bersama.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada pembangunan model latihan yang lebih responsif terhadap keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang mekanikal, elektrikal, automasi, penyelenggaraan jentera dan teknologi kenderaan elektrik. Maklum balas daripada pihak industri juga penting bagi memastikan kandungan latihan ADTEC JTM sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Kerjasama ini dijangka dapat memberi manfaat bersama melalui perkongsian kepakaran, pendedahan teknologi kepada tenaga pengajar dan pelajar serta penyediaan laluan kerjaya kepada graduan TVET dalam sektor perladangan berteknologi tinggi.
JTM melalui Unit Jalinan Industri akan terus memperkukuh hubungan strategik antara ADTEC JTM dengan pemain industri bagi menyokong agenda TVET dipacu industri serta melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing, adaptif dan bersedia menghadapi transformasi teknologi.
ADTEC JTM – Pilihan Kami
TVET Dipacu Industri, Membina Tenaga Mahir Masa Hadapan
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
