16 Februari 2026 - MELAKA – Dalam usaha memantapkan jalinan kerjasama strategik antara institusi kemahiran, ADTEC JTM Kampus Tangkak telah mengadakan satu lawatan kerja rasmi ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Cawangan Melaka.
Lawatan yang penuh bermakna ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama industri, khususnya bagi kursus-kursus teknikal yang ditauliahkan oleh pihak ABM. Fokus utama perbincangan adalah bagi menyelaraskan modul latihan agar kekal relevan dengan standard industri binaan masa kini, di samping membuka ruang perkongsian kepakaran antara kedua-dua belah pihak.
Selain itu, delegasi ADTEC Tangkak turut mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelbagai inisiatif tajaan yang boleh dimanfaatkan oleh para peserta kursus. Langkah ini dilihat mampu meringankan beban kewangan bakal pelatih sekaligus menarik minat lebih ramai belia untuk menceburi bidang kemahiran teknikal yang menjanjikan kerjaya masa depan yang cerah.
Sesi lawatan ini telah disambut mesra oleh Tuan Hj. Khairulazli Bin Sharifuddin, Eksekutif Cawangan ABM Melaka. Manakala delegasi daripada ADTEC JTM Kampus Tangkak pula diketuai oleh En. Noor Hadi Bin Misran (Penolong Pengarah CESS), serta diiringi oleh Tc. Hjh. Shakila binti Zainal (Pegawai CESS) dan Ts. Hj. Zamry Bin Hj. Zakaria (Pegawai CESS).
Semoga melalui pertemuan ini, satu ekosistem pendidikan TVET yang lebih dinamik dan inklusif dapat dibentuk demi melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja negara.
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
