8 September 2026 - Alhamdulillah, telah berlangsung Tazkirah berkenaan Kemerdekaan di Surau Al Jazari selepas solat Maghrib. Tazkirah ini menjadi ruang untuk kita sama-sama menghayati erti kemerdekaan bukan sekadar dari sudut kebebasan sebuah negara, tetapi juga dari sudut kemerdekaan jiwa dan kehidupan seorang Muslim.
Dalam tazkirah ini, penceramah menekankan perbezaan bentuk penjajahan pada zaman dahulu dan penjajahan pada zaman sekarang. Jika dahulu penjajahan berlaku melalui penguasaan tanah, kuasa dan pemerintahan, namun pada hari ini penjajahan boleh berlaku dalam bentuk yang lebih halus dan tanpa kita sedari.
Kita diingatkan bahawa manusia pada zaman ini mudah memperhambakan diri kepada trend, gajet, permainan video, media sosial dan pelbagai bentuk hiburan, sehingga kadangkala terlalu leka dan akhirnya terlupa kepada tujuan sebenar kehidupan. Lebih membimbangkan apabila hati dan masa kita lebih banyak terikat kepada perkara-perkara duniawi berbanding memperhambakan diri kepada Allah SWT.
Sesungguhnya, kemerdekaan yang hakiki bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi bebas daripada penghambaan kepada selain Allah SWT. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya meletakkan Allah sebagai tujuan dan keutamaan dalam setiap aspek kehidupan.
Harapan daripada tazkirah ini agar kita semua dapat mengambil pengajaran dan bermuhasabah tentang erti kemerdekaan yang sebenar. Semoga kita tidak hanya meraikan kemerdekaan negara, tetapi turut berusaha memerdekakan hati daripada kelalaian, ketagihan dunia dan perkara yang menjauhkan kita daripada Allah SWT.
Semoga kita menjadi generasi yang merdeka jasadnya, merdeka fikirannya dan yang paling utama, merdeka daripada penghambaan kepada selain Allah serta teguh menjadi hamba-Nya.
