Accessibility Tools

Pertandingan Hafazan Sempena Ihya’ Ramadan

6 Mac 2026 - Majlis Perwakilan Pelajar telah menganjurkan Pertandingan Hafazan Sempena Program Ihya’ Ramadan bagi menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan dalam kalangan para pelajar. Pertandingan ini melibatkan hafazan surah-surah daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Fil.
 
Bagi memastikan penyertaan yang seimbang, setiap bengkel telah menghantar dua orang wakil, iaitu seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan untuk menyertai pertandingan ini. Para peserta memperdengarkan hafazan mereka di hadapan para juri dengan penuh keyakinan dan semangat.
 
Pertandingan ini telah diadili oleh dua orang juri yang berpengalaman iaitu En. Muhammad Syafiq bin Wagimi dan Puan Shakila binti Zainal yang menilai peserta berdasarkan kelancaran hafazan, tajwid serta keyakinan ketika mempersembahkan bacaan.
 
Pertandingan ini dianjurkan bagi:
• Menggalakkan para pelajar menghafaz dan mendalami ayat-ayat suci Al-Quran.
• Menyemai minat serta kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan pelajar.
• Mengimarahkan program Ihya’ Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat dan berunsur kerohanian.
 
Diharapkan program seperti ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus mendekatkan diri dengan Al-Quran serta menjadikannya sebagai amalan harian. Selain itu, program ini juga diharapkan mampu melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
 
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah menunjukkan usaha dan komitmen yang tinggi sepanjang pertandingan ini berlangsung. Semoga usaha ini diberkati dan menjadi asbab untuk terus mencintai Al-Quran.
 
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
 

Related Articles