17 Jun 2026 - Exco Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ADTEC JTM Kampus Tangkak telah menganjurkan Program Maal Hijrah bagi menyemarakkan penghayatan terhadap peristiwa hijrah serta membentuk sahsiah pelajar yang lebih cemerlang berlandaskan nilai-nilai Islam.
Program dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha yang dipimpin oleh Saudara Faaiz Bin Mat Hussin. Seterusnya, program diteruskan dengan Ceramah Maal Hijrah bertajuk “Satu Tarikh, Seribu Perubahan: Membina Aku yang Baharu” yang telah disampaikan oleh Ustaz Jamaludin Bin Karim.
Dalam ceramah tersebut, Ustaz Jamaludin memfokuskan kepada penghayatan Surah Al-'Asr ayat 1 hingga 3. Beliau menggariskan kepentingan menghargai masa sebagai anugerah yang sangat bernilai dalam kehidupan. Selain itu, beliau turut menekankan keperluan untuk sentiasa memperbaiki diri dengan meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, memperbanyakkan amal soleh serta saling menasihati dan mengingatkan sahabat-sahabat dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan dan kebenaran.
Sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu yang bermanfaat, majlis diteruskan dengan sesi penyerahan cenderamata kepada penceramah. Program kemudian dimeriahkan lagi dengan Kuiz Maal Hijrah yang melibatkan para pelajar bagi menguji kefahaman mereka terhadap pengisian yang telah disampaikan sepanjang program berlangsung.
Diharapkan program seperti ini dapat memberi kesedaran dan inspirasi kepada para pelajar untuk melakukan penghijrahan diri ke arah yang lebih positif, memperkukuhkan jati diri sebagai seorang Muslim serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Semoga semangat hijrah terus menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih baik dalam aspek akademik, sahsiah dan kerohanian seluruh warga ADTEC JTM Kampus Tangkak.
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
